Apa yang panas di saluran Astro Ria sekarang? Pastinya Masterchef Celebrity Malaysia . Saya juga mengikutinya. Berbanding dengan Masterchef Malaysia yang pertama dahulu, saya lebih berminat untuk menonton siri Masterchef kali ini kerana tarikan pada setiap selebriti yang menyertainya. Kita mengenali kerjaya mereka di dalam industri hiburan dan rancangan ini telah menyerlahkan personaliti sebenar mereka.
Siapa selebriti kegemaran saya dalam program ini? Siapa lagi kalau bukan anak Cik Tom, iaitu AA @ Double A @ Azwan Ali. Gelagatnya berjaya membuat saya ketawa berdekah-dekah. Program ini menjadi topik hangat perbincangan dengan rakan-rakan di pejabat di pagi hari.
Saya tidak kisah apabila saya dikutuk kerana memilih dia menjadi my favourite celebrity. Saya telah melihat sifat-sifat positif yang ada dalam diri AA. Misalnya ketika kali pertama AA masuk pusingan penyingkiran, dia mengakui kelemahan kumpulannya dan kelemahan dirinya sendiri sebagai ketua yang telah menyebabkan seorang daripada ahli kumpulannya terpaksa disingkirkan.
Selain itu keseronokan saya menonton rancangan ini adalah melihat bagaimana selebriti yang lain menyesuaikan diri dengan orang yang mereka tidak selesa. Memang tidak dapat dinafikan AA seorang yang sangat vokal dan dramatik, tetapi AA lah yang menjadikan rancangan ini menghiburkan saya.
Semasa AA dan Karl Shafek akan disingkirkan, saya berdoa agar AA dapat bertahan hingga akhir episod. Chef Joe menyuruh AA mengucapkan selamat tinggal kepada Karl Shafek, saat itu saya sedikit hampa kerana menyangka AA yang akan keluar. Sayanglah kalau AA keluar kerana he is very entertaining.
Rancangan Masterchef Celebrity Malaysia ini telah berjaya mengubah tanggapan buruk saya pada AA sebelum ini. Selain AA, saya juga suka Soo Wincci ;D