Helai-helai daun yang luruh
Kadang-kadang mengingatkan
Di manakah di garis peta ini
Tiba perjalanan dan berdiri kita
Hutan yang diredah
Atau padang yang terentang
Ingatan yang dipapah
Atau mimpi yang tiba-tiba terdiam
Benar, kita tidak harus
Terlalu nostalgik di sini
Atau juga terlalu idealistik
Kerana hakikat lebih nyata
Dari kesamaran sejuta angin
Kita harus lebih berani
Bangun dan menghitung
Seberkas rencana yang kita bawa
Atau serentetan alpa yang mencicirkan
Pada usia ini
Segalanya meminta fikir
Yang lebih bijaksana
Menuntut rasa yang lebih sedar
Sebagai pengembara yang tidak harus
Terbabas dari tuju atau pemburu
Tak terlepas dari sasar
Sambil tunduk dan akur
Pada setiap ketentuan itu
Yang telah ditentukan...
Lim Swee Tin