Thursday, February 17, 2011

Saya Dan Pokok Pegaga

Dua bulan sudah berlalu kini tiba masa untuk memetik hasilnya. Pokok pegaga yang saya tanam di belakang rumah ini adalah daripada jenis pegaga embun. Agak sukar untuk di cari di pasar. Ia berbeza daripada pegaga biasa kerana daunnya lebih lebar, lebih tebal dan rasanya lebih rangup.

Ini antara maklumat tentang pegaga yang saya petik daripada laman sesawang Jabatan Pertanian Negeri Perak di www.pertanianperak.gov.my.

"Pokok Pegaga atau juga dikenali sebagai pokok antanan (bahasa Inggeris: pennywort) adalah sejenis pokok ulam yang terdapat Malaysia serta di negara-negara ASEAN. Nama botaninya Centella asiatica. Terdapat pelbagai jenis pegaga di Malaysia seperti:
  1. Pegaga cina atau pegaga nyonya yang berdaun kecil,
  2. Pokok Pegaga Daun Lebar
  3. Pegaga Embun - Hydrocotyle sibthorpiodes
  4. Pokok Pegaga Kelantan
  5. Pokok Pegaga Renek
  6. Pokok Pegaga Salad
  7. Pokok Pegaga Gajah
  8. Pokok Pegaga Brunei
Pegaga tumbuh di kawasan tropika yang terbuka dan tumbuh melata di padang rumput, kebun, ladang, tepi jalan dan sebagainya. Di Indonesia, jenis-jenis pegaga yang ada adalah daun kaki kuda, tikusan, pani gowang, pegagan.

Khasiat
Pegaga kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi, vitamin A dan C. Amalan memakan daun pegaga dipercayai boleh mengekalkan awet muda serta mengelakkan masalah kegemukan. Pegaga banyak terjual di pasar terutamanya di pasar tani dan sering dimakan sebagai ulam. Daun pegaga juga boleh dibuat tonik untuk menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan. Di India, pegaga diguna dalam perubatan tradisional sebagai tonik yang dapat menguatkan daya ingatan dan mengubat penyakit nyanyuk. Dalam perubatan tradisional Cina, pegaga digunakan untuk antaranya untuk mengubati selsema, sakit kuning dan penawar untuk keracunan cendawan dan gigitan ular. Antara khasiat lain pegaga adalah:
  • penawar alahan
  • anti kanser
  • melawaskan air kencing
  • penawar batu karang
  • penawar kencing berdarah
  • penawar ulser
  • merangsang peredaran darah
  • merawat cirit birit
  • menurunkan tekanan darah"

4 comments:

MawarDahlia said...

Saya berpeluang merasa teh pegaga di Malay Tea House tempoh hari. Agak pahit tetapi masih boleh diterima oleh tekak ini.

http://www.malayteahouse.com/

Nite Garden said...

Saya lawat lamanwebnya tadi. menarik sungguh dan menu banyak variasi. saya agak restoran yg kat FRIM tu pasti suasananya sgt nyaman. mesti cuba ni.. terima kasih krn berkongsi informasi.

MawarDahlia said...

Memang saya amat mengesyorkan Malay Tea House ini, terutama yang di FRIM.

Saya kunjungi di kala rindu masakan tradisi andai tidak berpeluang pulang ke kampung.

Saya selalu memesan pulut kuning sambal bilis bersama air pegaga selasih. Ataupun ketupat palas rendang tok bersama air asam paya. Sungguh menyelerakan!

Nite Garden said...

Membaca sahaja pun sudah kecur air liur apatah lagi apabila sudah terhidang depan mata. Ditambah pula dengan bau harum pulut. Insyallah saya akan ke sana suatu hari nanti. Cuma laluannya sahaja saya kurang biasa sedikit.

Related Posts with Thumbnails