Monday, February 1, 2010

Wajah Baru



Selamat hari wilayah!

Saya memberi sedikit rona baru kepada blog ini bagi tujuan penambahbaikan. Semua entri yang lama saya tapis semula untuk membuang seberapa banyak emosi yang berada di luar pagar kewarasan akal saya sewaktu saya menulis entri tersebut. Ada sesetengah entri diposkan semula manakala selebihnya yang agak mengarut tidak akan disiarkan lagi.

"Do what makes you happy" - itu yang sedang dan akan saya lakukan sepanjang tahun ini. Saya lebih menfokus kepada hobi dan minat saya. Tibalah masanya untuk saya memberi ruang dan peluang kepada diri sendiri dan menikmati kebersendirian saya.

Ada beberapa perkara yang sudah tidak saya endahkan iaitu sesuatu yang bersifat pemangkin kepada segala kerumitan dan kekusutan. Saya juga tidak mahu dikaburi mata saya oleh ketopengan orang lain lagi. Saya hanya mahu mendengar kata-kata yang benar.

Mulai Februari ini saya kembali menulis di blog ini.

Diakhiri entri ini dengan puisi nukilan A. Ghaffar Abdullah.


Kalau Kau Akan Mencari

Kalau kau akan mencari

laluan cinta itu di mana

kau tanyalah kedua belah matamu

yang melihat segala musibah dunia.

Kalau kau menemui

kesan cinta itu di mana-mana

khabarkanlah kepada kedua telingamu

yang mendengar segala bisikan noda dunia.

Kalau kau masih boleh berbicara

pada alam dan samudera

sampaikan salam ini kepada mereka

yang menanti dengan ufuk cintanya.

Namun, ingatlah kehidupan ada di hatimu

jiwa yang bernyawa

sebenarnya telah mati kali kedua

kalau kau tidak mencari redha-Nya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails