Thursday, June 24, 2010

Saya dan Emak

Sudah lebih setahun emak hilang selera makan. Emak hanya makan nasi sekali dalam masa sebulan. Itupun dalam satu sudu besar sahaja. Selebihnya emak cuma makan dessert. Emak paling suka makan gula-gula. Bayangkan emak boleh menghabiskan 30 biji gula-gula dalam masa sehari sahaja. Coklat pun emak boleh habiskan satu keping besar dalam masa sehari. Berat badannya sekarang cuma 40kg, separuh daripada berat badannya sebelum ini.

Dahulu saya tidak pandai berleter. Kini leteran saya lebih hebat daripada kakak. Saya risaukan kesihatan emak sebab dia mengidap diabetes dan tekanan darah tinggi. Tetapi saya hairan walaupun cara pemakanannya begitu, bila pergi ke klinik untuk pemeriksaan kandungan gula dan tekanan darahnya adalah terkawal. Akhirnya saya mengalah bila doktor kata emak boleh makan gula-gula dan dessert setiap hari kerana ia akan membantu menstabilkan gula agar tidak turun lebih rendah lagi.

Rutin saya setiap hari adalah membeli 20 biji gula-gula dan memasak pelbagai jenis pemanis mulut. Satu hal yang menjadi sedikit sukar ialah emak tidak akan memberitahu apa yang dia hendak makan apabila ditanya. Jadi saya pun tidak tahu apa yang dia suka makan. Saya perlu mencuba pelbagai jenis dessert dan memerhatikan tindakbalas emak bagaimana. Jika sebaik sahaja dessert siap dimasak emak terus makan dan lepas itu emak menambah beberapa kali, itu tandanya dia suka. Bila emak suka, selang beberapa jam selepas itu dia akan mengulang makan lagi, tahulah saya itu yang dia suka. Jika saya masak di waktu pagi dan keesokan paginya sudah habis, maknanya saya kena buat lagi hari berikutnya.

Itu reaksinya kalau dia suka apa yang saya masak. Kalau dia tak suka biasanya dia hanya makan sekali sahaja dan dessert itu akan berhari-harilah duduk dalam peti sejuk. Baru-baru ini saya masak bubur pulut hitam tetapi sambutan emak sedingin bubur itu yang sudah dua hari dalam peti sejuk. Jika begitu kaedahnya, bubur pulut hitam itu bakal diproses menjadi aiskrimlah pula nanti. Kalau sudah namanya aiskrim, pastilah itu untuk saya. Pagi semalam saya masak puding karamel satu loyang. Bila saya pulang ke rumah waktu petang cuma tinggal sepotong sahaja lagi. Kalau dia dah suka, satu loyang pun boleh dihabiskannya.

Itulah antara kerenah emak. Saya akui menjaga ibu bapa sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Saya sendiri pun seringkali hilang sabar dengan kerenah emak. Memang sukar mahu mencari titik kesefahaman antara anak dan ibubapa. Saya sedar hakikat yang syurga saya terletak di tapak kaki emak selagi saya belum berkahwin.

Bila saya fikirkan semula, bukanlah susah hendak menguruskan emak. Dia tak banyak cakap, tidak pernah meminta-minta itu dan ini. Emak tidak lagi segarang zaman dia muda-muda dahulu. Sediakan sahaja gula-gula dan dessert untuknya. Itu sudah memadai baginya. Emak tidak pernah mencampuri urusan saya. Dia juga boleh menguruskan dirinya sendiri. Tuhan memberi peluang untuk saya menempah pintu syurga namun begitu jika saya tidak sabar memang saya menempah pintu neraka. Ya Allah, berikanlah saya kesabaran yang hebat!

Emak seringkali menolak untuk tinggal dengan anak lelakinya dan dia tetap memilih untuk tinggal dengan saya walaupun saya kerap meleteri emak. Setiap kali saya keluar rumah dan saya minta maaf pada emak atas kata-kata saya, setiap kali itu jugalah emak berkata, “Allah, takde ape salahnye pun nak dimaapkan. Biase le tu. Takde ape le…” dan saya pasti menangis di dalam kereta ketika saya menuju keluar, menyesali sikap saya terhadap emak.

Saya tidak pernah mengucapkan perkataan sayang pada emak, begitu juga sebaliknya. Saya tahu emak sayangkan saya, tetapi adakah emak tahu saya sayangkannya??? Adakah dia dapat membaca tanda saya sayang padanya???




Jika kita masih mempunyai kedua orang tua atau salah seorang daripada mereka maka bersyukurlah kerana Tuhan masih memberi peluang kepada kita untuk menambah pahala.

Jika kita sudah tidak mempunyai kedua-duanya maka kita juga mesti bersyukur kerana Tuhan masih memberi peluang kepada kita untuk tidak menambah dosa.

No comments:

Related Posts with Thumbnails