Wednesday, June 23, 2010

Saya dan Puding Karamel



Telur yang dibeli sudah hampir lupus kerana jarang digunakan. Jadi saya pun becadang untuk buat puding Karamel. Ia memang kegemaran emak. Ada pelbagai cara untuk menyediakannya. Boleh dikukus atau dibakar. Bahan-bahannya berbeza mengikut resipi. Orang-orang barat lebih suka menggunakan susu segar ataupun double cream. Tetapi kita orang asia lebih suka menggunakan susu sejat ataupun susu pekat. Ada juga puding karamel yang tidak menggunakan telur. Macamana itu? Mungkin saya boleh berkongsi resipi pada entri yang akan datang. Resipi kali ini saya dapat daripada emak mentua adik saya. Sangat mudah untuk disediakan.

Bahan A :
10 sudu besar gula putih
250ml air
1 helai daun pandan (optional)

Bahan B :
6 biji telur gred A
1 tin susu sejat (400g)
1 tin air (400g)
1 camca teh esen vanilla (optional)

Cara-cara :



Sediakan bahan A. Kuantiti gula boleh dikurang atau dilebihkan mengikut citarasa sendiri. Cairkan gula sehingga kekuningan. Pastikan api sangat perlahan agar gula tidak hangus dan pahit.



Setelah gula bertukar warna keemasan masukkan air dan daun pandan. Resipi asal tidak menggunakan daun pandan. Ini cuma idea saya sahaja kerana saya suka aroma dan rasa daun pandan. Anda boleh abaikan daun pandan ini jika tidak suka. Biarkan mendidih sedikit kemudian padamkan api. Ketepikan dan biarkan sejuk seketika.



Jerangkan air untuk mengukus. Sementara menunggu air mendidih, sediakan bahan B. Pecahkan telur. Sebelum memukul telur pastikan tali pusat telur dibuang terlebih dahulu. Ia kelihatan seperti lendir yang sedikit likat dan kenyal. Kebiasaannya ia melekat dihujung kuning telur. Jika dibuang ia akan mengurangkan hanyir telur. Satu lagi tip tentang telur. Telur gred A mempunyai kuning lebih besar, pekat dan kenyal berbanding telur gred B. Putih telurnya pula lebih banyak kerana saiz telur lebih besar. Telur gred A lebih sesuai digunakan untuk membuat puding karamel kerana keistemewaan kuning telurnya akan memekatkan aduan. Manakala telur gred B lebih sesuai untuk membuat kek kerana kuantiti cecairnya kurang. Jadi ia akan mengurangkan lembapan pada kek.



Kacaukan telur sedikit sahaja untuk menyebatikannya. Jangan sampai terlalu berbuih. Saya punya ini dah terlebih kacau. Jika terlalu berbuih, puding karamel akan menjadi terlalu berlubang-lubang.



Masukkan susu sejat, air dan esen vanilla. Esen vanilla ini bertujuan untuk mengurangkan hanyir telur. Jika saya memasukkan daun pandan ke dalam bahan A, saya tidak akan memasukkan esen vanilla di dalam bahan B, begitu juga sebaliknya kerana saya mahu hanya satu perisa sahaja yang mendominasi rasa. Oleh sebab itulah saya sentiasa pastikan tali pusat telur dibuang. Jadi terpulanglah kepada anda untuk memasukkan salah satu sahaja atau kedua-dua perisa ini sekali.



Keluarkan daun pandan daripada bahan A. Tuangkan bahan B ke dalam bahan A. Tidak perlu dikacau adunan. Saya menggunakan loyang berukuran 9 inci. Kemudian dikukus selama 20 minit. Pastikan air kukusan mendidih terlebih dahulu sebelum meletakkan adunan di dalam bekas pengukus.



Sedia untuk dihidangkan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails