Hari Rabu seperti biasa saya akan berkongsi pelbagai resipi. Satu lagi resipi daripada arwah opah. Bercerita mengenai arwah opah, arwah bukanlah handal memasak. Berkahwin semuda usia 13 tahun, arwah tidak berkesempatan belajar banyak masakan. Masakannya ringkas sahaja dan mungkin tidak begitu menyelerakan bagi orang lain. Namun begitu arwah sangat rajin menyediakan makanan untuk kami sekeluarga. Zaman persekolahan saya dan adik beradik daripada sekolah rendah hingga menengah, kami tinggal dengan arwah. Pada kami apa sahaja yang dimasak oleh arwah semuanya sedap.
Rutin hariannya bermula pukul 6 pagi. Selesai solat subuh arwah menyediakan sarapan untuk kami. Arwah akan pastikan kami bersarapan sebelum pergi ke sekolah. Jika kami tidak mahu makan, sekurang-kurangnya minum susu itu wajib bagi kami kerana katanya susu menguatkan tubuh. Pagi kami memang tidak pernah tanpa sarapan. Arwah sendiri pun mengamalkan minum susu tepung dua kali sehari. Kerana itu arwah masih kuat dan tidak bongkok sedikitpun walaupun usianya ketika itu hampir mencecah 80 tahun. Tubuhnya pun ramping sentiasa bila berkebaya.
Pukul 9 pagi arwah pergi ke kedai runcit arwah Che’ Mud berdekatan dengan rumah kami untuk membeli bahan-bahan masakan. Pukul 11 pagi arwah mula turun ke dapur memakai pakaian khas untuk memasak. Pukul 1 tengahari arwah sudah siap memasak. Arwah tidur sebentar sementara menunggu waktu zohor. Ketika kami pulang dari sekolah, makanan tengahari sudah tersedia.
Selepas solat asar arwah menyediakan minum petang pula. Arwah juga memasak nasi dan memanas lauk-pauk untuk makan malam kami. Selepas solat maghrib kami makan bersama-sama. Ketika inilah kami bercerita tentang hal sekolah kepada arwah. Kebiasaannya arwah masuk tidur sebaik sahaja selesai solat isyak.
Ketika hari sabtu dan ahad sahaja barulah saya mengadap arwah memasak dan menolongnya. Waktu itulah saya belajar masak. Cuti sekolah pula adalah hari yang kami sama-sama memasak hidangan istimewa yang tidak disediakan pada hari-hari biasa. Arwah mengajar saya mengopek kelapa, mencari daun pisang, mencari cendawan pokok, mengutip pucuk paku, pucuk ubi, terung pipit, daun salam, pucuk manis, bunga kantan dan macam-macam lagi. Saya juga menemani arwah pergi ke bendang untuk mengutip buah mangga. Saya sering mengikut arwah masuk ke dalam hutan untuk mencari pelbagai sayuran kampung kerana saya lebih lasak berbanding adik beradik yang lain.
Paling seronok bila membuat persediaan untuk menyambut hari raya. Kami berdua sama-sama masuk hutan untuk mencari buluh lemang. Saya mengikutnya pergi ke rumah arwah Pak Bahari untuk menumbuk beras, beras pulut dan gula untuk dibuat kuih raya. Menumbuk menggunakan lesung kaki sudah tidak dipraktikkan lagi oleh masyarakat sekarang. Membakar lemang, mengacau dodol, membuat baulu – waktu ini kakak turut menyertai keseronokan kami.
Setiap kali saya merajuk (ketika kecil saya memang kuat merajuk) arwah akan buatkan sayur kobis masak lemak putih kerana itu adalah masakan kegemaran saya. Hilang terus rajuk selepas melihat masakan itu terhidang. Paling saya terharu adalah apabila kami demam. Arwah buatkan bubur nasi dan menyuapkan kami. Arwah bersengkang mata menjaga kami sehingga sembuh.
Ketika adik saya kecil-kecil dahulu, dia sering meminta arwah menbancuhkan air minuman untuknya walaupun waktu itu kami sudahpun masuk ke bilik tidur.
Adik : “Pah, nak yangat!”
Opah: “Hish kamu ni! Dah tengah-tengah malam bute ni pun kamu nak yangat juge!”
Walau panjang leterannya arwah tetap bangun untuk membancuh air minuman untuk adik. Sehingga sekarang kami selalu mengulangi dialog ini ketika kami berkumpul adik beradik.
Kasih sayang arwah kepada kami melebihi kasih sayang ibu kandung. Kami lebih rapat dengan arwah opah berbanding emak. Dialah orang yang kami paling sayang di dunia ini. Sudah 14 tahun arwah pergi meninggalkan kami namun setiap saat kami tetap merindui arwah.
Itulah antara kenangan manis kami dengan arwah opah. Arwah banyak mengajar saya memasak. Kerana itu saya selalu berkongsi resipi arwah opah di laman blog ini. Semoga pahala untuk arwah berterusan.
Apa pula resipi yang akan dikongsi kali ini? Pernah dengar pais telur ikan? Mungkin di tempat lain disebut pepes telur ikan. Saya mengunakan telur ikan jelawat. Kebetulan ikan ini diberi oleh majikan kepada bapa kawan kakak yang mempunyai kolam ikan di rumahnya. Kebiasaannya ia akan diberi percuma oleh majikan tersebut apabila ikan-ikannya cukup matang untuk ditangkap. Ikan jelawat termasuklah telurnya perlu dibasuh dengan betul supaya hilang hanyirnya.
Pais Telur Ikan Opah
Bahan-bahan :
500 gram telur ikan
2 keping asam gelugur (asam keping)
1 biji bawang besar – dihiris
1 inci halia – dihiris
5 biji cili padi atau 1 biji cili merah – dihiris (kuantiti mengikut selera masing-masing)
Sedikit garam
Sedikit gula
3 helai daun kunyit
Daun pisang atau kertas aluminium
2 batang lidi (jika menggunakan daun pisang)
Cara-cara membasuh telur ikan :
Setelah dikeluarkan telur daripada perut ikan, bilas telur dengan bersih. Kemudian direndam dengan air perahan limau nipis (masukkan sekali buah limau), asam keping, garam dan tepung gandum selama satu jam. Selepas itu dibilas dengan air bersih dan ditoskan.
Pais Telur Ikan Opah
Bahan-bahan :
500 gram telur ikan
2 keping asam gelugur (asam keping)
1 biji bawang besar – dihiris
1 inci halia – dihiris
5 biji cili padi atau 1 biji cili merah – dihiris (kuantiti mengikut selera masing-masing)
Sedikit garam
Sedikit gula
3 helai daun kunyit
Daun pisang atau kertas aluminium
2 batang lidi (jika menggunakan daun pisang)
Cara-cara membasuh telur ikan :
Setelah dikeluarkan telur daripada perut ikan, bilas telur dengan bersih. Kemudian direndam dengan air perahan limau nipis (masukkan sekali buah limau), asam keping, garam dan tepung gandum selama satu jam. Selepas itu dibilas dengan air bersih dan ditoskan.
Cara memasak :
Telur ikan dibubuh garam dan gula. Bawang, halia, cili padi atau cili merah yang telah dihiris dibahagi kepada dua bahagian.
Ambil daun pisang atau kertas aluminium. Lapiskan dengan sehelai daun kunyit. Taburkan separuh bahagian bawang, halia dan cili padi ke atas daun kunyit, diikuti dengan sekeping asam gelugur. Kemudian letakkan telur ikan.
Kemudian taburkan separuh lagi bawang, halia dan cili padi di atas telur ikan beserta sekeping lagi asam gelugur. Letakkan dua helai daun kunyit menutupi telur ikan.
Akhir sekali kemaskan bungkusan daun pisang dengan menyisip batang lidi di kedua-dua hujung bungkusan. Jika menggunakan kertas aluminium, kelimkan sahaja bahagian tepinya agar telur tidak keluar ketika dimasak.
Letakkan bungkusan pais yang telah siap itu di atas kuali leper, letak di atas dapur gas dan dibiarkan masak selama 30 minit – 15 minit bahagian bawah dan 15 minit bahagian atas. Ketuhar atau ketuhar gelombang boleh juga digunakan. Bakar pada suhu 150°C selama 30 minit.
Sedia untuk dihidangkan.
5 comments:
Hi Nite Garden, Wow! I have never seen nor eaten this fish eggs before. Looks delicious.
I bet the aroma neighbours pun dapat sniff, ha ha.
Looks like you ada a Black Belt in cooking....
Have fun and keep a song in your heart, Lee.
Hello Uncle Lee,
Not just the look, the taste also yummy. the whole family like it except my sister-in-law. memang my neighbours boleh sniff coz i bakar at my backyard.
If i had black belt in cooking maybe now i dah jadi chef haha
white belt pun i tak ade :'(
Thanks Uncle Lee
klu cara sy plak sy letakkan kelapa parut yg dcampur dgn srbuk kunyit,srbuk cili,srbuk jntan manis,air asam jawa,serai yg dkisar,daun kunyit yg dihiris halus,gaulkan skali dgn telur dan dibalutdgn daun pisang.apapun cara stiap org adalah berbeza.mgkin nnti sy blh cuba cara ni kan? nmpak pun mcm sdp..
Tq for the info.
Sy study resepi ni sbb nk masak telur ikan patin. Resepi2 lain yg sy jumpa byk cerita pasal telur ikan laut shj. Yg ini resepi telur ikan sungai. Suami sy dpt ikan patin yg sgt besar. Telurnya shj seberat 2.3kg.
Post a Comment